Saturday, October 2, 2010

MINGGU 10: JURNAL REFLEKSI

Salam...

Pembentangan minggu 10 diteruskan lagi dengan dua lagi genre muzik tradisional iaitu Muzik Klasik India dan Muzik Orang Asli.  Secara keseluruhannya, pembentangan kedua-dua kumpulan boleh dikatakan ok.  Namun begitu, terdapat beberapa kelemahan dari segi penyediaan bahan persembahan.  Pembentang muzik klasik india boleh menjadikan pembentangan mereka lebih menarik jika mereka membuat ulangkaji yang lebih mengenai genre muzik ini kerana muzik klasik india adalah salah satu jenis muzik yang diiktiraf dunia kerana keunikan pemain dan juga jenis alat  muzik yang dimainkan.  pembentang yang membentangkan mengenai jenis alat muzik bolehdijadikan contoh kepada pembentang lain kerana pembentang dilihat sebagai seorang yang bersedia dengan bahan yang hendak dibentangkan.

Muzik orang asli juga dibentangakan dengan baik dengan ketiga-tiga pembentang telah melakukan kajian lapangan mereka di muzium orang asli.  Namun, seperti biasa bila melakukan kajian lapangan di muzium, tidak dibenarkan mengambil gambar dan juga menyentuh peralatan yang dipamerkan.  pembentangan juga akan jadi lebih menarik jika pembentang memperincikan  tentang tarian sewang yang sememangnya menjadi tradisi dan adat resam bagi masyarakat orang asli. 
sekian, terima kasih.
Teruskan Membaca...

Saturday, September 25, 2010

MINGGU 9: JURNAL REFLEKSI

assalamualaikum wbt....

Minggu  9 telah membawa kami untuk meneroka alam ghazal dan juga opera cina.  Pembentangan dari kedua-dua kumpulan seperti biasa mengandungi objektif seperti sejarah atau asal-usul bagaimana ia di bawa ke dalam negara ini, jenis alat muzik yang digunakan ketika persemabahan dan juga jenis elemen muzik yang terdapat dalam persembahan ghazal dan juga opera cina.

Bagi muzik tradisional ghazal, dikatakan ia berasal dari tanah arab sejak zaman arab jahiliah lagi. Ghazal membawakan muzik dan lagu-lagu melayu yang bertemakan kasih sayang.  Di Malaysia, terdapat dua jenis ghazal iaitu ghazal phati di Utara tanah air dan juga Ghazal Johor di Johor.  ghazal biasanya dimainkan seiiring dengantarian seperti tarian zapin dan biasanya dipersembahkan di majlis-majlis perkahwinan dan juga majlis berkhatan.  Antara alat muzik yang sering mnegiringi persembahan ghazal adalah seperti gambus, violin, gitar, tabla dan harmonium.

Opera cina pula dikatakan telah berkembang sejak abad 3M lagi.  Ia merupakan satu persembahan tradisi cina yang dipersembahkan bersama dialog dalam bentuk nyanyian.  Persembahan opera cina lebih berkisarkan mengenai perihal kehidupan dalam istana.  Seperti yang semua tahu, opera cina memang terkenal dengan keunikan lagu-lagu dan teknik vokal pelakon yang juga penyanyi dalam persembahan tersebut.  Antara alat muzik yang sering mengiringi persemabahan opera cina ini adalah saxephone, hawaii guitar, goahu dan banyak lagi alat muzik tradisi kaum cina.

sekian, terima kasih
Teruskan Membaca...

Wednesday, September 22, 2010

MINGGU 8: JURNAL REFLEKSI

salam....

Minggu 8 telah melibatkan pembentangan dari kumpulan saya yang telah memilih boria sebagai tajuk tugasan. Boria merupakan salah satu muzik tradisional yang amat popular di sebelah utara semenanjung Malaysia iaitu Pulau Pinang.

Mengikut sejarah, Boria dipersembahkan  untuk memperingati peristiwa Karbala yang meratapi kematian Saidina Hussein r.a. Persembahan boria merangkumi dua segmen iaitu lakonan dan nyanyian. Jika dulu, pelakon boria terdiri daripada lelaki tetapi pada hari ini kaum wanita juga terlibat dengan persembahan ini.

Pembentangan berjalan dengan lancar dan pensyarah juga telah membantu dalam memberikan komen dan panduan yang baik untuk penambaikan isi-isi penting mengenai boria. 

Sebagai rujukan, kami juga telah menggunakan internet untuk mencari sumber dan bahan-bahan yang berkaitan dengan boria.

Pada hari ini, boria telah dipersembahkan dipelbagai tempat bersempenaan dengan pelbagai upacara seperti perkahwinan. Malah, boria juga tidak hanya dipersembahkan di negeri Pulau Pinang sahaja tetapi juga dinegeri-negeri lain berdasarkan permintaan. 

Dari segi alat muzik, boria tidak menetapkan alt muzik khas tetapi pada waktu dahulu antara alat muzik yang sering digunakan ketika persembahan boria adalah violin, gambus, tabla, akordian, tabla dan simbal. Sekarang, beberapa alat muzik moden telah ditambah penggunaannya dalam persembahan boria seiring dengan kemajuan teknologi seperti piano dan gitar mahupun satu set dram.

Sekian, terima kasih.
Teruskan Membaca...

Tuesday, August 24, 2010

MINGGU 7: JURNAL REFLEKSI

Salam... Minggu 7 adalah minggu bermulanya pembentangan untuk kursus ini. Pembentangan di mulakan dengan kumpulan 1 yang mengisahkan sejarah muzik tradisional di Malaysia. Kumpulan 1 telah memulakan sesi pembentangan dengan memberi ringkasan tentang alat muzik dunia tamadun purba. Sesi diteruskan dengan pembentangan mengenai pengaruh India, China, Timur Tengah dalam muzik tradisional melayu. Pembentang juga menghuraikan mengenai pengaruh barat dalam muzik tradisional melayu di Malaysia seperti pengaruh penggunaan alat2 muzik seperti violin dan gitar. Pembentangan juga telah menyentuh mengenai pengaruh dari kepulauan melayu lama dalam muzik tradisional seperti dari Indonesia dan Thailand. Kategori alat muzik seperti kordofon, membranofon dan idiofon juga di terangkan oleh pembentang menjadikan pembentangan bertambah menarik dan kukuh bila disertai dengan fakta-fakta yang memang tidak dapat di sangkal.

Kumpulan 2 pula membentangkan tajuk mengenai Zikir. Dapat dilihat perbezaan zikir mengikut negara dan juga zikir sebenarnya boleh diamalkan pada bila bila masa sahaja. terdapat dua jenis zikir iaitu zikir Qalbi iaitu berzikir di dalam hai dan juga zikir Lisani iaitu berzikir dengan mengucapkannya di mulut. Zikir lebih sinonim dengan tahlil yang biasanya di amalkan di negara kita. Namun, yang menarik perhaian saya mengenai zikir yang di gali oleh kumpulan 2 ini ialah apabila Indonesia mengguunakan zikir ketika menyambut kemerdekaan negara mereka. Hal ini memang berlainan sama sekali dengan negara kita.

Kesimpulannya, pembentangan ini akan memberi ilmu dan pengetahuan kepada kami yang mungkin sebelum ini idak mengetahui perkara-perkara yang dibangkitkan jika tidak ada sesi pembentangan.

sekian, terima kasih.
Teruskan Membaca...

Friday, August 20, 2010

MINGGU 6 : JURNAL REFLEKSI

Salam Ramadhan kepada En. Amran dan rakan-rakan sekuliah...

Nyata masa begitu cepat berlalu hingga tidak sedar minggu ini sudah masuk kuliah ke-6 untuk subjek ini. Seperti kuliah-kuliah yang lepas pendekatan yang di gunakan amat menarik bagi memastikan kami-kami generasi muda hari ini lebih berminat untuk mempelajari muzik tradisional yang saya kira jika kaedah yang digunakan juga bersifat tradisional, mungkin tidak sampai minggu ke-6 saya bertahan untuk kuliah subjek muzik tradisional.

Minggu ini kami didedahkan dengan dua lagi jenis muzik tradisional iaitu makyung dan kompang. saya kira tidak menjadi masalah bagi saya untuk belajar mengenai makyung kerana pernah berkuliah mengenainya dulu. tapi, saya pun tak tahu kenapa saya 'lost' bila en.amran menyuruh saya bercerita mengenai makyung ini. mungkin jawapannya sesuai dengan soalan debat. perlu diberi pembaharuan/dikontemporarikan muzik tradisional supaya golongan muda mudi berminat untuk mempelajarinya. kalau tidak, jadi lah macam saya ni belajar untuk lulus sahaja...

oke. kita ke agenda yang betul. refleksi. objektif untuk kuliah makyung adalah untuk mengetahui sejarah makyung, persembahan dan alat muzik makyung serta bentuk dan irama dalam muzik makyung. makyung bermula di patani dan mula tersebar luar di semenanjung, medan dan kepulauan riau. kira-kira 200 tahun dahulu makyung telah tersebar ke negeri kelantan ketika pemerintahan sultan mahmud IV dan merebak pula ke kedah. namun, makyung di negeri kelantan lebih dikenali berbanding dengan makyung negeri lain. alat muzik utama makyung adalah rebab, tetawak dan gendang. sekarang, semua watak dalam persembahan makyung dilakonkan oleh kaum wanita walaupun sebagai watak pakyung. mungkin watak peran sahaja yang dimainkan oleh lelaki. mengadap rebab adalah lagu pembuka pentas bagi ensembel makyung. rebab merupakan alat muzik yang di mainkan untuk melodi lagu makyung. manakala sistem gongan dalam makyung menggunakan 8 bit, 16 bit dan 32 bit. irama makyung pula 'pak, duh. cak dan ting. dahulu, makyung dimainkan untuk mengubati penyakit dan penyembahan guru. persembahan makyung di mainkan di lantai yang tidak di bina pentas. kumpulan persembahan akan berada ditengah lantai. begitu juga pemuzik. penonton akan mengelilingi kumpulan persembahan tersebut. setelah di kormesilkan barulah makyung di persembahkan di atas pentas.

kuliah kedua minggu 6 adalah mengenai kompang. dikatakan, kompang berasal dari Arab yang juga dikenali dengan nama dufuf, duff, daff, tar atau bendir. terdapat tiga jenis persembahan kompang iaitu kompang formasi, kompang selawat dan kompang ezhar. kompang di bawa oleh pedagang Arab ke nusantara yang di mainkan untuk menarik perhatian pembeli dan kemudian ia menjadi ikutan masyarakat setempat. terdapat beberapa pantang larang ketika bermain kompang iaitu tidak boleh melambung kompang, tidak boleh menelentang dan juga dari segi pakaian juga perlu dititkberatkan kerana pada kebiasaannya pakaian kumpulan kompang adalah sama. kompang boleh dimainkan pada tiga kedudukan iaitu duduk, berdiri dan berjalan. permukaan kompang di jadikan daripada kulit kambing betina. kompang terdapat dalam pelbagai saiz. kompang perlu di simpan dengan cara yang betul iaitu permukaan kompang perlu mengadap dengan permukaan kompang lain bagi mengelakkan permukaan tersebut rosak. kompang banyak dimainkan untuk majlis-majlis seperti kenduri dan berkhatan. terdapat tiga paluan digabungkan untuk menghasilkan bunyi yang menarik dan sedap didengar iaitu melalu, menyilang dan meningkah.

20 minit sebelum kuliah tamat, kami di ajar cara bbermain kompang oleh pensyarah dan di bantu oleh rakan major muzik. bagi saya ia adalah pengalaman pertama. sebelum ini saya hanya sebagai penonton sahaja. pengalaman pertama memegang kompang. berat jugak kompang ni. saya sangkakan ringan sahaja. 20 minit memegang kompang terasa sakit la jugak di pergelangan tangan. mungkin sebab tidak biasa kot. tapi, ia memang satu pengalaman baru yang best la. di tambah dengan rakan-rakan sekuliah yang sporting.

sekian, terima kasih.
Teruskan Membaca...

Thursday, August 12, 2010

MINGGU 5 : JURNAL REFLEKSI

salam...

Setelah 5 minggu berkuliah ala-ala hidup di zaman dulu kala kuliah minggu ini sangat menyeronokkan dan terhibur.  Terima kasih kepada kengkawan major muzik sebab sudi mentor walaupun masa semput sangat.  Ok. Berbalik kepada tujuan asal posting kali ni.

Minggu ni kami didedahkan kepada dua jenis muzik tradisional iaitu gamlen dan juga cak lempong.  Pertama, kita berkenalan dengan muzik gemelan dahulu ya.  Objektif P&P bagi gamelan ini ialah mengetahui jenis-jenis gamelan, alat muzik yang dimainkan dalam muzik gamelan dan juga sistem tonal, melodi, bentuk dan tekstur muzik gamelan.

Gamelan dikategorikan sebagai muzik bentuk tarian utama kerana terdapat tarian yang akan mengiringi muzik gamelan ini seperti tarian asyik.  Muzik gamelan terbahagi kepada gamelan melayu dan gemelan jawa.  Gamelan Melayu terkenal di negeri Terengganu.  Menurut sejarah asal gamelan Melayu, muzik ini dibawa ke negeri Terengganu melalui perkahwinan keluarga Di Raja Riau dengan keluarga Di Raja Pahang dan seterusnya perkahwinan antara kerabat Di Raja Pahang dengan kerabat Di Raja Terengganu.  Muzik ini dimainkan secara serius oleh Tengku Ampuan Mariam dan di turunkan kepada cucu cicitnya.  Di zaman dahulu, pembelajaran mengenai tarian muzik gamelan ini diperturunkan melalui lukisan pergerakan tarian kerana belum wujud lagi sistem tulisan yang boleh menterjemahkan pergerakan tersebut.  Jenis alat muzik yang dimainkan untuk mengiringi muzik tradisional ialah adalah seperti gong, bonang barong, kenong, sarong penerus, sarong demong, gambang, sarong barong dan gendang.  Antara lagu-lagu yang popular yang dimainkan untuk muzik gamelan ini adalah seperti lagu 'Timang Burung', 'Lambang Sari', 'Togok' dan 'Perang Manggong'.  Muzik Gamelan Melayu ini pada dahulu kala dimainkan di istana ketika mengiringi perkahwinan antara Sultan Sulaiman dan Tengku Mariam di Istana Maziah, Kuala Terengganu.  

Gamelan Jawa pula dikatakan berasal di Pulau Jawa Tengah yang dibawa oleh orang-orang Jawa ke Semenanjung ketika penjajahan Eropah.  Gamelan ini boleh didapati di Johor, Selangor dan Wilayah Persekutuan. Alat muzik gamelan Jawa ini lebih kompleks berbanding dengan gamelan Melayu.  Antara alat muzik yang digunakan adalah bonang, gendang, demung, saron barung, sarun penerus, gambang, kenong, kempol dan gong.  

Gamelan adalah ensembel musik yang biasanya menonjolkan metalofon, gambang, gendang, dan gong. Orkes gamelan kebanyakan terdapat di pulau Jawa, Madura, Bali, dan Lombok di Indonesia dalam berbagai jenis ukuran dan bentuk ensemble.
( http://eksplorasi-dunia.blogspot.com/2009/07/gamelan-jawa-seni-khas-indonesia.html )

Dahulu kala muzik ini tidak dipelajari secara formal. Ia dipelajari melalui pendengaran yang bermula dengan perkara yang lebih mudah hingga ke kompleks. Namun, setelah awal abad ke-19 barulah sistem nombor diperkenalkan dan ia kekal hingga ke hari ini. 


alat muzik gamelan
 
 Bonang


 
    * all picture credit to 
  http://eksplorasi-dunia.blogspot.com



Muzik Cak lempong dikatakan telah dibawa ke Tanah Melayu oleh masyarakat Minangkabau dari Sumatera Barat yang meneteap di Negeri Sembilan seawall kurun ke 14. Masyarakat Minangkabau memanggil caklempong sebagai talempong ( Sumber: Abd Samad Isrid,1970)

Bagi masyarakat Minang, Caklempong mempunyai peranan penting dalam kehidupan seharian masyarakatnya seperti menyatupadukan penduduk setempat dan dimainkan semasa pertabalan Sultan.  Hari ini, Caklempong dimainkan untuk pelbagai tujuan seperti upacara perkahwinan, perasmian, keraian, iringan pencak silat dan juga iringan tarian.

Antara alat muzik yang mengiringi Caklempong adalah boning, gereteh, tingkah, sauwa, gendang ibu dan anak, bangsi dan serunai.  


Sekian, terima kasih.
  
Teruskan Membaca...

Wednesday, August 4, 2010

MINGGU 4 : JURNAL REFLEKSI

Assalamualaikum wbt....

Pada kuliah 4 ini kami dihidangkan dengan tayangan menarik daripada pensyarah bagi sesi set induksi.  Tayangan tersebut memberi gambaran awal mengenai tajuk kuliah pada minggu ini iaitu 'Wayang Kulit'.  Minggu ini pensyarah menetapkan 3 objektif yang perlu dicapai dalam masa 2 jam proses P&P iaitu memperkenalkan jenis-jenis wayang kulit, jenis alat muzik dalam muzik wayang kulit dan juga perbezaan antara semua wayang kulit.

Wayang kulit dikategorikan sebagai persembahan teater kerana terdapatnya penceritaan dalam setiap persembahan.  Pendek kata, setiap kali persembahan wayang kulit diadakan, ia mempunyai satu isu yang mahu disampaikan tidak kiralah isu tersebut mengenai masyarakat sekeliling, isu rumah tangga, alam sekitar, 1Malaysia mahupun cerita epik Ramayana dan Mahabrata yang sememangnya menjadi tunggak sebenar penceritaan wayang kulit sebelum di ubah menjadi cerita-cerita lain.

Dalam persembahan wayang kulit ini terdapat pelbagai karya iaitu lagu-lagu yang disampaikan mengikut kehendak jalan cerita. Ramai yang mengatakan sejarah wayang kulit ini adalah datangnya dari pengaruh India kerana asal usul penceritaan sebenar wayang kulit ini adalah berkisahkan epik Ramayana yang berperang dengan Mahabrata. 

Selepas mengimbau sejarah dan asal usul wayang kulit, pensyarah telah menghuraikan 5 elemen penting dalam persemabahan wayang kulit iaitu seni muzik iaitu kebiasaannya 35 buah lagu perlu dihafal oleh tok dalang untuk persembahan. Elemen kedua adalah hikayat yang merujuk kepada Tok Dalang perlulah mempunyai pengetahuan yang luas tentang hikayat-hikayat yang berkaitan. Selain itu, lakonan juga adalah elemen yang penting kerana sebagai Tok Dalang yang menjadi penggerak cerita, seseorang itu mestilah pandai berlakon dengan menggunakan suara-suara mengikut plot penceritaan.  Ini bertujuan untuk menjadikan persembahan tersebut menarik dan tidak bosan untuk di tonton. Tok Dalang juga perlu mempunyai pengetahuan agama yang tinggi kerana setiap kisah dan isu yang dipersembahkan pastinya terkandung unsur-unsur nasihat yang hendak di sampaikan kepada penonton. Jadi, Tok Dalang perlulah menonjolkan kewibawaan mereka dalam pengetahuan agama. Elemen terakhir adalah seni lukis atau ukir yang terdapat pada setiap patung-patung yang membawa watak perceritaan.  Kelima-lima elemen ini saling perlu memerlukan dan bergantungan antara satu sama lain bagi memastikan persembahan menjadi lebih seronok dan menarik dengan isu-isu yang dibawakan.

Kuliah seterusnya beralih kepada slide yang membincangkan mengenai jenis-jenis wayang kulit di Malaysia. Jenis yang pertama adalah wayang kulit Jawa@Purwa yang berasal dari Indonesia. Wayang kulit jenis ini dipersembahkan oleh orang-orang yang berketurunan Jawa di Johor dan Selangor. Seterusnya adalah jenis wayang kulit gedek yang ada di kawasan utara semenanjung Malaysia. Wayang kulit jenis ini dikatakan berasal dari Thailang yang boleh dicam melalui patung-patungnya yang kebiasaannya diukir menampakkan bahagian depan muka patung. Selain itu, jenis wayang kulit lain adalah wayang kulit Melayu (wayang Jawa) yang dipengaruhi oleh Wayang Purwa dari Indonesia. Wayang kulit jenis ini dimainkan di istana Pattani dan mengikut hasil kajian masih ada di Kampung Chicah, Kelantan. Wayang kulit yang paling dikenali adalah wayang kulit Kelantan. Wayang kulit Kelantan menjadi hiburan untuk masyarakat  Kelantan suatu masa dahulu dan masih popular sehingga hari ini. Cuma perkembangannya tidak sehebat seperti zaman teknologi masih berada dalam alam impian. Penceritaannya juga masih lagi berkesahkan epik Ramayana dan Mahabrata dan kadang-kala di selang seli dengan cerita Melayu, Panji dan cerita tempatan.

Objektif terakhir pembelajaran adalah mengenali perbezaan antara keempat-empat jenis wayang kulit yang telah dibincangkan di atas. Perbezaannya boleh di kenali melalui bentuk patung dan juga jenis alat muzik yang dimainkan ketika persembahan. Biasanya wayang kulit yang datang dari pengaruh Jawa atau Indonesia memulakan persembahan mereka dengan iringan muzik gamelan berbeza dengan wayang gedek dan wayang kulit kelantan yang memulakan persembahan dengan tiupan serunai. 

Patung yang dipengaruhi oleh Jawa mempelihatkan kedua-dua belah sendi tangan boleh digerakkan manakala pengaruh siam hanya boleh menggerakkan sebelah sendi sahaja. Alat muzik yang dimainkan juga membolehkan penonton membezakan mengikut keempat-empat jenis wayang kulit tersebut. Pada wayang kulit Kelantan terdapat penambahan alatan muzik berbanding dengan wayang kulit jenis lain. Namun, walaupun terdapat perbezaan-perbezaan yang nyata antara keempat-empat wayang kulit ini, persamaannya tetap sama iaitu pengaruh asal wayang kulit adalah dari India dan menjadikan epik Ramayana dan Mahabrata sebagai intipati asal penceritaan.

Patung-patung yang diukir sebenarnya boleh menimbul efek kekaguman kerana kehalusan ukirannya. Setiap patung yang di ukir melambangkan perbezaan watak iaitu watak baik, jahat, sombong, rendah diri, pemimpin dan wanita.  Persembahan akan menjadi lebih menarik jika Tok Dalangnya pandai membuat lawak jenaka untuk menimbulkan 'mood' lucu agar penonton tidak berasa bosan.

Saya sertakan video wayang kulit yang dicedok dari Youtube:

Wayang Kulit Kelantan 'Pok Dogol Ngadap Raja Serama'




Teruskan Membaca...
 

BLOG PELAJAR KUMP.A

BLOG PELAJAR KUMP.D

BLOG PELAJAR KUMP.C

SMP2252 DILLAH Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template